Thursday 21 November 2013

ICT

Cabaran didalam penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah
PENDAHULUAN
Pendidikan yang bermakna ialah pendidikan yang membawa kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh yang boleh digunakan oleh individu dalam menjalani kehidupan seharian (Augustine Towonsing, 2006). Dalam perkembangan potensi inilah, kita sewajarnya mempertingkatkan dan mempelbagaikan teknik atau kaedah dalam pengajaran agar pemikiran anak-anak generasi akan datang sentiasa berkembang selaras dengan hasrat di dalam Falsafah Pendidikan. Oleh itu, bermacam-macam idea dan saranan yang KPM telah rancang dan laksanakan seperti PPSMI yang menggunakan ICT dalam pengajaran, Smart School Conceptual Blueprint, FROG dan sebagainya telah mengenengahkan ICT secara langsung ataupun tidak langsung.
ICT merupakan salah satu medium yang begitu sinonim dalam dunia globalisasi ini. Kepenggunaan ICT dalam kehidupan harian umpama “isi dan kuku” yang begitu akrab dimana celik sahaja mata kita di pagi hari, celiklah penggunaan ICT. Dalam melangkah alam siber ini, sukar bagi kita menemui orang yang buta IT. Sekiranya seseorang itu tidak mengenal komputer, maka ketinggalan dia jauh kebelakang. Jika dahulu penggunaan papan hitam atau papan tulis dalam pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu alat bantu mengajar,namun kini Kementerian pelajaran Malaysia (KPM) menekankan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran yang lebih efisien. Penggunaan komputer, LCD ( liquid crystal display), kamera video digital dan pelbagai lagi peralatan adalah mangkin dalam menyalurkan maklumat dengan lebih cepat dan berkesan.
Kecanggihan berada dalam dunia siber ini, memungkinkan kanak-kanak seusai usia setahun sudah pandai memetik papan kekunci, seusia tiga ke lima tahun sudah pandai bermain permainan di alam siber berbanding dengan kanak-kanak di era 1970-an atau 1980-an, dimana congkak, galah panjang, batu seremban dan pelbagai lagi permainan tradisional yang hampir dilupakan seiring dengan kemajuan teknologi maklumat merupakan mainan harian.
Oleh itu, tidak hairanlah jika sekarang ini, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dalam merealisasikan hasrat kerajaan yang inginkan masyarakat yang berpengetahuan tinggi yang mampu memberi saingan kepada dunia luar agar taraf pendidikan kita seiring dan sejajar dengan dunia luar yang telah maju ke hadapan. Dengan perkembangan teknologi ini, kita mampu melahirkan ilmuan yang mempunyai minda yang kreatif dan inovatif  yang mampu mengaplikasikan kemudahan teknologi dalam memantapkan ekonomi Negara dimasa hadapan. Namun, kita perlu akur dengan perkembangan dunia ICT ini telah memberi seribu satu macam cabaran dan perlu ditangani dan dikepung agar tidak tersasar dari  landasan. Cabaran-cabaran yang wujud inilah, yang telah menyuntik semangat agar warga pendidik terus berusaha mendalami ilmu dan terus mencari agar ilmu yang kita ada seharusnya melebihi dari apa yang pelajar kita ada agar kita mampu membendung anak didik kita yang begitu ghairah meneroka dunia tanpa sempadan ini.
**************************

Cabaran didalam penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah
ICT ( Information and Communication Technology)  didefinisikan sebagai teknologi yang menggabungkan teknologi komputer dengan talian komunikasi berkelajuan tinggi. Penggabungan teknologi ini mampu memberi impak yang besar kepada pengguna. Jika dilihat dari sudut sejarah pembuatan komputer, Alan Turing (1936) iaitu pelopor komputer moden telah mencadangkan mesin Turing sejagat sebagai model komputer untuk menghitung sebarang fungsi matematik yang tidak boleh diselesaikan secara analisis. Dari sini, kita mengetahui bahawa penggunaan komputer telah lama diperkenalkan dalam pembelajaran yang sekaligus mampu menyelesaikan sesuatu masalah yang tidak terjangkau oleh otak manusia.
Kini, kita berada dalam generasi keempat dalam penciptaan komputer dimana bermula pada tahun 1980-an, mikrokomputer menjadi lebih maju dengan keupayaan ingatan sehingga 64 juta bait. Komputer peribadi seperti Komputer Buku (Laptop atau Notebook) atau mikrokomputer yang lebih kecil seperti Komputer Tangan (Palmtop) amat meluas digunakan khususnya di sekolah-sekolah. Tidak cukup dengan itu, telefon bimbit biasa, telefon pintar, i-phone, i-pad dan seumpamanya akan menjadi keperluan wajib dalam kelangsungan hidup. Oleh itu, penggunaan ICT dalam dunia pendidikan khususnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah memberi banyak cabaran yang harus ditangani secara bijak. Inilah dunia digital, semua berada di hujung jari sahaja.
Revolusi maklumat  yang seiring dengan kemajuan ICT  nerupakan cabaran baru dalam profesion keguruan pada abad ke -21 ini. Menurut Ward & Peppard (2003) , ICT merujuk kepada teknologi (hardware, software, telecommunication dan networks). Menurut Mohamed Rashid  dan Mohd Nasir (2003), dalam kajian “Refleksi Terhadap Perlaksanaan Sistem Pengajaran dan Pembelajaran Serta Penilaian Pendidikan Teknik dan Vokasional : Ke Arah Pengartikulasian Yang Sepadu” menyatakan bahawa pada abad ke-21, Negara menghadapi cabaran dalaman dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi .Oleh itu, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran banyak memberi kesan yang baik kepada pelajar, namun begitu terdapat juga kelemahan dan keburukannya / cabaran jika tidak dipantau secara berhemah.
Clark dan Solomon (1986) menyatakan bahawa sudah ada anjakan paradigma dalam pembangunan sistem pengajaran (ISD) kita iaitu dari teori behaviorisme ke kognitivisme ke konstruktivisme. Teori behaviorisme bermaksud “perubahan pada tingkah laku” ....,(Skinner, 1969) teori kognitif bermaksud “ penambahan pengetahuan dalam ingatan jangka panjang”, (E. Gagne , et al., 1995)  manakala teori konstruktivisme bermaksud pembelajaran itu mesti generatif, iaitu mengambil tindakan bagi mencipta sesuatu maksud daripada apa yang mereka pelajari (Wittrock, 1978). Perubahan era inilah yang kita jalani sekarang dimana dengan ilmu pengetahuan yang kita ada perlu diperkembangkan dan perlu diingati untuk sesuatu jangka masa panjang. Oleh itu, dunia pendidikan memainkan peranan yang penting agar semua teori itu boleh diguna pakai dalam menentukan masyarakat di era globalisasi ini.
Dalam Falsafah Pendidikan Malaysia ada dinyatakan  bahawa :
            “Pendidikan di Malaysia ialah satu daya usaha berterusan menuju
            pembangunan potensi individu dalam keadaan holistik dan bersepadu
 agar memperoleh insan yang berintelektual, spiritual, emosi dan
seimbang secara fizikal dan harmoni berdasarkan kepada kepercayaan
Kepada Tuhan. Usaha seperti ini juga direka bentuk bagi menghasilkan
Rakyat Malaysia yang berpengetahuan dan berkebolehan dengan moral
yang tinggi dan bertanggungjawab serta berkebolehan untuk menjadi
seorang insan yang kamil serta dapat menyumbangkan keharmonian
dan kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan Negara.”
(dipetik dari The Smart School Project, 20 Ogos 1977)
Justeru itu, ia merupakan satu proses menstrukturkan semula kurikulum yang sedia ada. Kewujudan sekolah bestari dan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) menjadi pelantar sebagai titi pengangkutan masyarakat ke era teknologi maklumat. Dalam MSC, sekolah bestari adalah salalh satu daripada tujuh agenda utama selain dari kad serbagua dunia, penyelidikan dan pembangunan (R & D ), kerajaan elektronik, jaringan pembuatan seluruh dunia, pusat pemasaran tanpa sempadan dan teleperubatan. Bagi merealisasikan hasrat kerajaan ini, langkah pertama adalah diperingkat persekolahan manusia didedahkan dengan dunia tanpa sempadan ini.
Hakikatnya, penggunaan ICT dapat meningkatkan keberkesanan hasil pembelajaran kerana pelajar dapat melihat atau meneroka  bahan pembelajaran dengan lebih jelas. Setiap suatu perkara, ada pro dan kontranya. “Jika kita takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.” Jika kita takut menghadapi permasalahan, jangan di tempa perkara yang kita tak pasti. Dahulu, mungkin kita biasa dengar akan peribahasa ini ditujukan kepada seseorang yang ingin mencuba sesuatu yang baru, kini peribahasa itu tidak ada salahnya, tetapi dalam dunia digital ini kita perlu menempuhnya dan mencari jalan penyelesaiannya. Kita akan belajar dari kesilapan. 
Dunia pendidikan sekarang, amat jauh bezanya dengan era 1970-an. Anak-anak sebelum era 1970-an, kurang cekap dalam dunia ICT tetapi anak-anak di era 1990-an, amat cekap dan mahir dalam penggunaan ICT.Justeru, keberanian pelajar sekarang dalam meneroka dunia siber ini, merupakan cabaran yang harus dihadapi oleh guru. Salah satu cabaran yang akan dihadapi oleh guru kini ialah tahap kemahiran. Guru perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam penggunaan ICT ini semasa dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan kemahiran yang ada ini, kita mampu menyediakan pelbagai bentuk bahan pengajaran.
Jika kita kaji, tahap kemahiran guru dalam ICT belum lagi mencapai tahap yang maksima dimana segelintir guru hanya mahir dalam penggunaan Microsoft word dan Powerpoint sahaja. Kemahiran ini perlu ditambah lagi agar pengajaran dan pembelajaran dapat dicerakinkan agar lebih menarik. Penggunaan blog adalah salah satu cara bagi kita menyampaikan ilmu dalam alam maya dimana pelajar kita boleh melayari internet disamping mendapatkan maklumat atau nota-nota yang berkaitan dari blog kita. Kemahiran membina blog amat penting bagi mengatasi kekangan masa dalam menyampaikan ilmu di kelas dan salah satu cara untuk menambahkan kemahiran guru ialah melalui kursus-kursus intensif  ICT dalam pengajaran. Salah satu kursus bagi menambahkan kemahiran ICT dalam pengajaran ialah kursus BPPT (Bimbingan Perguruan Profesional Dalam Teknologi Maklumat Dan Komunikasi).
Melalui kursus seperti ini, para pendidik didedahkan bahawa kepenggunaan ICT dalam pengajaran amat bermakna di era  globalisasi ini. Kursus ini akan menekankan cara penyelenggaraan, penggunaan dan penghasilan bahan dalam pengajaran. Kita juga mampu menangani apa juga cabaran yang datang kerana kita sudah cukup bersedia dari sudut kemahirannya. Dengan kemahiran yang kita ada, bidang pendidikan akan menjadi lebih mantap. Kemahiran kita juga tidak hanya pada word processor sahaja, kita juga mahir dalam penghantaran maklumat seperti E-mail, penggunaan internet, persembahan, pengurusan fail dan sebagainya . Kita juga boleh menggunakan kemudahan ini untuk mengakses bahan pengajaran, sumber dan sokongan dan menyertai perbincangan yang berbentuk professional.
 Bagi yang kurang kemahiran, penyelenggaran perkakasan  mungkin menyebabkan pembaziran masa . Pembaziran masa ini menyebabkan  guru  gagal menghabiskan sukatan di akhir tahum. Jadi kemahiran dalam mengendalikan peralatan dan kemahiran dalam program amat penting  agar pengurusan masa masih di dalam perancangan. Cabaran ini merupakan cabaran yang paling utama dan menyebabkan sebahagian pendidik tidak menggunakan ICT dalam pengajaran. Selain itu, peralatan yang tidak mencukupi dan mahal juga merupakan salah satu masalah atau kelemahan / kekurangan dalam pengajaran.
PPSMI merupakan satu agenda yang menekankan Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains dengan menggunakan ICT sebagai media pembelajaran. Penggunaan ICT melalui pengajaran Sains dan Matematik begitu mengujakan pelajar dengan pelbagai grafik, audio dan animasi yang menarik. Selama hari ini, pelajar hanya belajar dengan menggunakan papan hitam, manila kad, kertas mahjung dan abm yang kaku, melalui ICT dalam pembelajaran, pelajar dapat melihat realiti alam atau fenomena alam tanpa imaginasi. Pelajar juga boleh melihat objek dalam tiga dimensi. Fokus pelajar bertambah dengan kepelbagaian warna yang ceria, pergerakan yang nyata tanpa perlu berimaginasi , tetapi timbul pula cabaran yang baru. Adakah penumpuan pelajar bermakna atau sekadar suka melihat gambar yang bergerak?
Inilah salah satu lagi cabaran menggunakan grafik multimedia dalam pengajaran. Tumpuan pelajar hanya kerana gambar yang bergerak tetapi objektif  pengajaran tidak tercapai seratus peratus. Ini adalah kenyataan dan cabaran yang pendidik perlu hadapi dan tangani agar pembelajaran menjadi lebih berkesan bukan sekadar menggunakan ICT untuk memudahkan pengajaran tetapi memberi impak yang maksimum terhadap pencapaian pelajar. Kita perlu bijak dalam pengurusan kelas agar pelajar ceria dan fokus disamping dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan.
Cabaran yang berikutnya adalah dari segi kesediaan guru itu sendiri. Harvey(1990), telah menyenaraikan beberapa faktor yang mengekang kesediaan guru untuk melaksanakan perubahan dalam diri dalam meningkatkan profesion perguruan. Antaranya, kurang rasa kepunyaan kerana sesuatu tugasan itu atas arahan bukan atas kehendaknya sendiri. Rasa kepunyaan itu amat penting dalam diri seorang pendidik. Biarlah niat yang diazamkan dalam dirinya dibuat dengan kesungguhan bukan atas paksaan. Jika sesuatu kerja yang kita lakukan, penuh dengan keikhlasan, pasti hasilnya juga memuaskan hati kita.
Kedua, pandangan yang agak konservatif dimana ia merasakan apa yang ada sekarang sudah cukup memadai dan tidak perlukan perubahan yang begitu drastik. Pandangan ini yang perlu dikikis dalam diri setiap pendidik. Kita adalah jambatan bagi ilmu pelajar, jambatan yang dibina itu perlulah kukuh dan dihias rapi, agar pengguna merasa begitu yakin. Pelajar itu adalah pengguna yang perlu kita yakini, maka ceriakanlah jambatan itu dengan pelbagai kemudahan ICT yang boleh kita gapai walau dimana juga kita berada. Ketiga, guru mempunyai persepsi umum bahawa dengan perubahan (menggunakan ICT dalam P & P ) akan menambahkan beban kerja seperti menguruskan peralatan dan  perlu membuat persediaan yang lebih . Persepsi ini menyebabkan guru bersikap pesimis terhadap pencetus idea tersebut dan ini akan mewujudkan sikap tidak bertanggungjawab apabila ia diamanahkan dengan sesuatu tugasan.
Harvey juga menyatakan, kekurangan sokongan dari pihak pentadbiran, kewangan, peralatan, pengiktirafan dan mengurangkan birokrasi di peringkat sekolah juga merupakan cabaran besar dalam dunia digital ini. Sokongan ini merupakan penyuntik semangat bagi manusia, kita sentiasa perlukan motivasi dalam diri untuk jadi yang terbaik. Satu lagi sikap yang menyebabkan ia menjadi satu bebanan yang besar ialah, sikap suka menyendiri. Perkongsian ilmu adalah perlu kerana kita mampu menyelesaikan apa juga masalah secara kolaboratif.
 BPPT atau Program Bimbingan Perguruan Profesionalisme merupakan satu inisiatif smart partnership KPM bersama Prestariang Technology Sdn. Bhd. Bagi meningkatkan mutu pendidikan kebangsaan dalam era ledakan teknologi maklumat yang begitu pantas dan kian mencabar. Melalui kursus ini kita mampu menjadi “ World Class Teachers” dalam menangani cabaran dalam pengajaran dan pembelajaran dan sekali gus menganjak paradigma pengajaran dan pembelajaran di kelas. Namun, kita masih menghadapi cabaran  kerana kursus yang ditawarkan hanya untuk beberapa kumpulan perintis sahaja. Seharusnya, kursus ini perlu diteruskan dan dijadualkan semula agar ilmu pengetahuan yang amat bermakna ini dapat dikuasai oleh semua warga pendidik.
Cabaran dari segi prasarana juga memberi kesan yang amat mendalam. Prasarana yang ada tidak seimbang dengan keperluan murid. Pembinaan makmal komputer tidak terlalu membantu dalam menangani isu ini. Makmal komputer yang ada tidak dapat mengoptimumkan penggunaannya, penyelenggaraan yang  tidak konsisten akan menyebabkan peralatan yang ada tidak bertahan lama. Tambahan pula jangka hayat sesuatu perkakasan tidak lama, jadi dengan kos yang agak mahal, tidak mustahil hanya beberapa peralatan sahaja yang berfungsi.
Tahap kebolehan pelajar juga kekangan yang mungkin timbul dalam penggunaan ICT dalam kelas. Jika dalam satu kelas mempunyai tahap yang sama, mungkin tidak menjadi masalah, tetapi jika pelbagai tahap, guru perlu membuat alternatif lain agar pembelajaran berjalan lancar. Pelajar yang berkemahiran perlu dikukuhkan manakala pelajar yang lemah perlu diberi bimbingan. Maka kekangan seperti ini, menyebabkan pelajar yang kreatif dan terlalu berani meneroka akan melakukan pencarian yang tidak sepatutnya ada dalam sukatan. Kita tidak mampu memantau pelajar serentak dalam satu masa, jika kita memberi tumpuan kepada seseorang, pelajar yang lain akan terbiar. Oleh itu, salah satu cara ialah guru sahaja yang menggunakan komputer dan menayangkan kepada pelajar.
Penggunaan ICT jika diwajibkan bagi semua sekolah, akan menimbulkan satu masalah yang besar bagi semua pihak. Antara permasalahan yang mungkin timbul ialah, jurang perbezaan antara pelajar bandar dan luar Bandar. Kemudahan yang ada tidak selaras dibandar dan luar bandar menjadikan satu cabaran yang besar bagi pendidik di luar bandar. Kemudahan melayari internet juga agak terhad bagi pelajar di luar bandar terutamanya yang jauh dipedalaman. Hal ini akan menjadikan mereka akan ketinggalan berbanding pelajar bandar. Ia merupakan cabaran yang besar bagi pendidik yang bertugas di luar bandar untuk mencari bahan secara talian terus.
Penyalahgunaan internet merupakan salah satu masalah yang sukar dibendong. Kemudahan yang disediakan adalah untuk memudahkan pelajar mencari bahan pembelajaran namun sikap segelintir pelajar yang melayari internet hanya untuk ‘bersembang kosong’ seperti whatapps, facebook, myspace, Friendster dan seumpamanya menyebabkan mereka menjadi lalai atau alpa apakah peranan sebenar mereka.
Kesimpulan
ICT dan pendidikan merupakan gabungan yang cukup erat. Dalam pengajaran dan pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran yang rapi berdasarkan kepada pedagogi, kurikulum, penilaian dan bahan pengajaran merupakan kunci utama dalam menghasilkan seorang insan yang mempunyai kepakaran, kemahiran dan rasa tanggungjawab. Ia merupakan satu proses yang perlu dilakukan oleh pentadbir, guru, staf sokongan dan pelajar dalam membentuk masyarakat yang berketrampilan. Proses ini dapat dilakukan dengan penggunaan teknologi baru atau lama dan mendapat sokongan daripada ibu bapa pelajar itu sendiri.
Apa juga cabaran dalam penggunaan ICT dalam pendidikan perlu ditangani dengan sebaiknya kerana penggunaan ICT banyak memberi kebaikan berbanding keburukan. Jika dilihat, bukan sahaja kebaikan itu dinikmati oleh pelajar, malahan guru juga dapat menikmati faedahnya kerana kita akan rasa puas atau teruja sekiranya anak murid kita berjaya dan memberi tumpuan semasa belajar.
Dalam dunia pendidikan, multimedia banyak digunakan dalam :
a)         tutorial interaktif dengan memilih bahan yang sesuai berdasarkan kepada kemasukan berterusan maklumbalas pelajar dengan mengambil kira rekod pelajar.
b)         Persembahan elektronik melalui pakej aplikasi komputer yang canggih, cakera video, dan lain-lain format persembahan.
c)         Pengajaran simulasi komputer bagi tajuk yang berbahaya, mahal, berlawanan atau sensitif kepada masa untuk mencubanya secara terus menerus.
d)         Realiti maya, latihan ujikaji 3-D yang boleh mensimulasikan kejadian sebenar.
e)         Pengajaran atau sumber yang dihasilkan dalam internet seperti World Wide  Web yang member perkhidmatan 24 jam.
f)         Perayauan hiperteks bagi menjalankan penyelidikan, projek dan pembangunan projek multimedia dalam bentuk CD, pelajar boleh menggunakan atau menangkap maklumat tekstual, visual grafik dan auditori untuk membangunkan projek mereka.

Multimedia dalam pendidikan juga dapat memberi banyak faedah, antaranya:
a)         pengajaran akan menjadi lebih efektif dengan adanya integrasi elemen-elemen multimedia.
b)         menarik minat dan memotivasikan pelajar
c)         Pelajar dapat belajar pada tahap kendiri dan pada bila-bila masa sahaja
d)         menjimatkan masa dan kos. Tidak memerlukan tenaga pengajar, Cuma bertindak sebagai fasilitator sahaja.
e)         Pelbagai sumber dan bahan dapat disimpan dan digunakan dengan adanya kemudahan internet dan perpustakaan maya.

Tuntasnya, daripada beberapa kebaikan dan faedah ini, sepatutnya apa juga cabaran yang datang kita boleh hadapinya dan ada jalan penyelesaiannya. Guru-guru tidak boleh patah semangat dalam mendidik kerasa ia adalah satu profesion yang mulia dan semestinya mendapat kepuasan dengan melihat kejayaan muri-murid.











RUJUKAN

Norasiah Abdullah, Rosnah Ahmad Zain & Mazilah Abdullah (2011). Teknologi Maklumat  
        & Komunikasi, Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd, Selangor.

Rozinah Jamaludin (2000). Asas-Asas Multimedia Dalam Pendidikan, Utusan Publications & 
         Distributions Sdn. Bhd, Selangor.

Prof. Madya Dr. Mansor Fadzil, Prof. Madya Dr. Abdul Razak habib(2003). Prinsip
        Teknologi Pengajaran, Open University Malaysia, Kuala Lumpur.

Dimuat turun dari :
                      dalam-lalangan-guruguru-pendidikan-islam

tas%2013.pdf

No comments:

Post a Comment